Mohon mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang - Utusan Malaysia

Mohon mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU 29 Mac – Anak waris Perut Kemin Luak Jelebu hari ini memohon Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut di sebalik pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16.

Mereka berpendapat, semua peristiwa yang berlaku sejak kematian Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab pada 11 September 2014 memerlukan penilaian secara menyeluruh oleh pihak berkuasa itu.

Anak waris, Ahmad Razin Aminuddin berkata, sebanyak tiga pelantikan Undang luak yang dibuat selama ini tidak sempurna sama ada dari sudut amalan adat, tata cara pelantikan dan kesahihan Dato’ Lembaga Delapan luak tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Demi keadilan anak waris luak Jelebu, kami mohon Undang Luak Sungai Ujong Dato’ Klana Petra, Datuk Mubarak Dohak sebagai yang tua dalam kalangan Undang yang empat memulakan langkah memanggil segera mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

“Ia bagi membincangkan kemelut Luak Jelebu dan buat perbandingan sama ada ia sempurna atau tidak,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, memang ada langkah dan usaha baharu oleh sebahagian besar Dato’ Lembaga Delapan untuk mengatasi kemelut itu dengan dua nama calon terbaharu telah diwawarkan untuk dipertimbangkan ke jawatan berkenaan.

Seorang lagi anak waris, Muhammad Fakhrul Anwar berkata, pengisytiharan Undang luak yang baharu telah diadakan sebanyak tiga kali membabitkan individu berlainan.

Kali pertama, katanya, ialah pada Februari 2016 apabila seorang pengurus besar sebuah syarikat swasta, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, diisytiharkan oleh Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari (Dato’ Menteri), Mat Tarmizi Selamat.

Kemudian, tambahnya, Dato’ Menteri yang baharu, Ismail Mohd. Zain telah membuat pengisytiharan seorang pesara guru, Maarof Mat Rashad, 63, sebagai Undang luak sebanyak tiga kali.

“Pada 14 Mac lalu, seorang anggota polis, Baharuddin Zainal, 59, telah diumumkan sebagai Undang luak oleh Dato’ Menteri, Ibrahim Harun.

“Ketiga-tiga peristiwa ini mempunyai isu masing-masing seperti Mat Tarmizi membuat pengisytiharan ketika dia telah dipecat dari jawatan Dato’ Menteri manakala Maaruf berhadapan dengan isu Dato’ Lembaga tidak sah, manakala pelantikan Baharuddin mendapat bantahan tujuh Ibu Soko Parut Kemin Bemban,” katanya.

Ahmad Razin yang memberikan reaksi menarik perhatian, semua fakta dan isu berkenaan perlu disemak serta disahkan mengikut hukum adat.

“Kami sebagai anak waris berpendapat pengisytiharan yang telah dibuat wajar dibubarkan agar tidak ada masalah berbangkit pada kemudian hari,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini