PUTRAJAYA 29 Mac – Lokasi penganjuran Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya di sini dikategorikan antara lapangan paling mencabar di dunia. Juruterbang dari Belgium, Peter Van Overwalle berkata, kesukaran pengendalian belon udara panas di Putrajaya disebabkan lokasinya yang terletak di tengah-tengah bandar yang dikelilingi kawasan kediaman.
Pengendali belon berbentuk gajah merah jambu yang dinamakan The Princess Nelly itu berkata, Putrajaya adalah lokasi terbaik kepada juruterbang untuk menguji kemahiran mengendalikan belon.

“Antara cabaran terbang di kawasan yang dipenuhi bangunan, kren di tapak pembinaan dan taman perumahan ini adalah ketika mendarat kerana tidak banyak tapak yang ada.
“Semestinya ia bukan lokasi untuk juruterbang-juruterbang yang baharu bermula apatah lagi dengan kekangan untuk terbang lebih tinggi kerana terletak hampir dengan lapangan terbang,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam aktiviti itu.
Penyertaan Peter dalam Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya kali ke 10 itu merupakan yang kedua selepas penganjuran sulung pada 2009.
Acara selama empat hari yang bermula semalam disertai oleh 20 pengendali dari 14 negara antaranya dari Korea Selatan, Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Taiwan. Pelbagai aktiviti menarik dianjur sempena fiesta itu dengan harga tiket bermula dari RM15 hingga RM300 mengikut jenis acara yang disediakan.
Kunjungi laman web https://www.myballoonfiesta.com untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket. -UTUSAN ONLINE











