PUTRAJAYA – Hampir lima tahun selepas kematiannya, Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan Almarhum Sultan Perak berkaitan krisis negeri Perak.
Panel tujuh anggota diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim memutuskan bahawa terdapat salah arah dalam undang-undang yang serius oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan oleh sebab kedua-dua mahkamah gagal untuk menilai pembelaan bekas pengerusi DAP kebangsaan (Karpal Singh) itu.
“Dalam keadaan kes ini, kami berpendapat bahawa kegagalan itu adalah salah arah yang serius dan telah menyebabkan ketidakadilan yang sangat besar yang tidak boleh diperbetulkan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 92(1) Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.
Mahkamah membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan denda RM1,800 ke atas Karpal Singh. Balu beliau, Gurmit Kaur, 70, bertindak sebagai perayu gantian dalam rayuan itu.
Hakim Zaharah berkata, Karpal Singh membuat pembelaan beliau dengan bersumpah dan undang-undang memerlukannya supaya dipertimbang dan dinilai oleh hakim perbicaraan. Bagaimanapun, hakim pada akhir kes pembelaan hanya bergantung kepada penghakiman Mahkamah Rayuan (2012). – Bernama











