KLANG 29 Mac – Seorang penjenayah tegar yang memiliki sembilan rekod jenayah lampau nampaknya tidak pernah serik walaupun pernah dihukum sebelum ini dengan terbaru dia menjadikan tabung surau sebagai sasaran mencuri.
Namun, perbuatan itu segera berbalas apabila dia yang berusia 37 tahun dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan, ditangkap penduduk ketika sedang leka ‘memancing’ duit tabung Surau Haji Jangidin, Bukit Kapar, di sini.
Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 11.30 malam semalam itu, kelibat suspek dilihat seorang penduduk yang hendak menunaikan solat di surau berkenaan, sebelum dia kemudian memaklumkan kepada penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, penduduk bertindak mengepung surau berkenaan dan berjaya menangkap suspek berserta duit tabung RM693 yang sudah’dipancingnya’.
“Penduduk kemudiannya memaklumkan kepada polis dan setibanya anggota di surau berkenaan, kita mendapati suspek mengalami cedera ringan di bahagian muka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, semakan mendapati suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan kesalahan melibatkan dadah. – UTUSAN ONLINE











