KUALA LUMPUR – Harga cili merah yang naik secara mendadak sejak minggu lepas disebabkan penghasilannya kini sudah di penghujung sementara menunggu tanaman baharu untuk berbuah semula, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Sehubungan itu, pihaknya sedang memantau keadaan pengeluaran minggu ini memandangkan fenomena itu sudah menular ke seluruh negara.
“Harga borong bagi cili merah pada kebiasaannya adalah RM10 hingga RM15 sekilo namun naik kepada RM20 sekilo manakala harga runcit RM11 hingga ke RM12 sekilo naik kepada RM14 hingga RM15 sekilo.
“FAMA akan melihat kaedah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi kenaikan harga itu antaranya penyuburan penanaman cili merah dalam negara serta mengimport produk itu dari negara yang dibenarkan seperti Thailand, Indonesia dan China,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Produk Juara FAMA Negeri Terengganu di program MyBest Buy di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Ahmad berkata, FAMA telah mencapai RM16 juta nilai jualan tahun lepas bagi keseluruhan program MyBest Buy, melebihi sasaran kutipan RM14 juta yang ditetapkan.
Katanya, FAMA akan menambah lagi bilangan lokasi program berkenaan daripada 162 lokasi kepada 200 tempat di seluruh negara serta menyasarkan RM16 juta nilai jualan tahun ini. – Bernama











