MELAKA – Tindakan seorang penganggur menumbuk dan menendang anak kandung lelakinya berusia tujuh tahun hanya gara-gara menghabiskan sebiji burger berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Nizam Ramli, 42, yang mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara sengaja mendatangkan cedera terhadap anak lelakinya, Rayyan Hafiy Mohd. Nizam, 7, dengan cara menumbuk dan menendang mangsa di bahagian muka kira-kira pukul 7 pagi di sebuah rumah di Jalan Semabok, Jambatan Duyong di sini pada 28 Februari lalu.
Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4, 000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, mangsa dipukul selepas tertuduh berang anak bongsunya itu tidak meninggalkan separuh daripada burger yang sedang dimakan untuknya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan tertekan dengan hidup dan perlu menanggung isteri serta dua anak termasuk mangsa, selain ibu bapanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Nazrin menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap tertuduh dari tarikh ditangkap iaitu 4 Mac lalu.
Beliau turut menegaskan hukuman itu dibuat setelah mengambil kira kecederaan dialami mangsa dan kes keganasan rumah tangga yang dilihat semakin meruncing.
Dalam prosiding di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Teoh Shu Yu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini mengikut seksyen sama selepas didapati bersalah menumbuk muka dan kepala isterinya, Saaedah Nordin, 35, kira-kira pukul 3 pagi di lokasi dan tarikh sama. – K! ONLINE











