BACHOK – Suasana pilu menyelubungi pemergian Allahyarham Mohd. Sajury Abdullah, 63; isterinya, Sobariah Haron, 54; anak angkat, Uwais AlQurney, 6; serta anak saudara mereka, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, selepas selamat dikebumikan pada pada pukul 10 pagi tadi.
Jenazah pasangan suami isteri itu, anak angkat serta anak saudara mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, di sini.
Jenazah Mohd. Sajury bersama anak angkatnya, Uwais; dan arwah Sobariah bersama sepupunya, Nur Ilham Najwa, masing-masing disemadikan dalam satu lubang kubur disaksikan kira-kira 200 ahli keluarga serta penduduk setempat yang hadir pada majlis pengebumian berkenaan.
Jenazah empat ahli keluarga sebelum ini disembahyangkan di rumah keluarga mereka, di Kampung Mak Mayong, di sini.
Sebelum ini jenazah mereka termasuk arwah Muhamad Faezuan Nor Izzudin, 27, dari Hospital Raub tiba di Kampung Jelawat pukul 1.10 pagi diiringi dua kereta peronda daripada Balai Polis Bachok.
Terdahulu, Jenazah Muhamad Faezuan Nor Izzudin, 27 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, Jelawat, di sini pukul 1.34 pagi tadi.
Sementara itu, ibu kepada arwah Nurul Ilham Najwa, Ramzainiah Haron, 48, berkata, arwah anaknya adalah seorang yang menghormati orang tua dan sering meminta pandangan dan nasihat.
Menurutnya, arwah sudah membuat pelbagai perancangan sepanjang cuti semester selama tiga bulan di kampung.
“Arwah tamat peperiksaan pada 20 Mac lalu dan saya cadangkan dia menumpang ibu saudaranya yang kebetulan akan ke Kelantan, semalam. Arwah pun tidak keberatan kerana dia memang rapat dengan ibu saudaranya itu.
“Malah, arwah sudah merancang untuk mengambil ujian lesen memandu, berpuasa dan menyambut Aidilfitri di kampung, namun Allah yang menentukan segalanya,” katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.54 pagi semalam, lima individu, termasuk sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, maut selepas kereta Proton Pesona yang dinaiki mereka bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Kampung Jeram Besu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu, dilaporkan berkata Proton Pesona yang dinaiki semua mangsa itu dikatakan hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bas ekspres yang membawa 45 penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur. – K! ONLINE.











