KUALA LUMPUR 29 Mac – Dua lelaki diburu polis kerana dipercayai terlibat meragut beg tangan seorang wanita di Kajang pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.57 petang itu, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pada mulanya, mangsa dikatakan berjalan di lokasi berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal.
“Kedua-dua mereka bertindak menarik beg mangsa dan akibat kejadian itu, mangsa kehilangan beberapa kad bank, sejumlah wang tunai serta satu cek atas nama syarikat berjumlah lebih RM3,000 selain kunci rumah dan pejabat,” katanya di sini.
Tambah Ahmad Dzaffir, hasil siasatan mendapati ketika kejadian terdapat orang awam cuba menahan suspek terbabit sehingga mencetuskan pergelutan di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan memecut motosikal. “Selain itu, rakan mangsa yang turut berada di lokasi kejadian sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit, namun rakaman berdurasi 11 saat itu tidak berjaya merakam muka dan kenderaan digunakan suspek dengan jelas,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir memberitahu, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Shafinaz Saud di talian 011 37171020,” katanya.-UTUSAN ONLINE











