JAKARTA 28 Ma. – Pasangan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia nombor satu, Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’ruf Amin sepakat untuk menggerakkan rancangan ‘Rabu Putih’ semasa hari pengundian 17 April ini.
Detik News melaporkan, Ma’ruf berkata, rancangan tersebut sudah dimaklumkan Jokowi dan beliau bersetuju bahawa pada 17 April adalah hari baju putih dan memilih pasangan berbaju putih.
Katanya, penyokong diminta memilih pasangan berbaju putih dalam kertas undi mereka.
“Jadi putih adalah kita, sebab itu memilih latar putih dengan memakai baju putih,” katanya di Temanggung, Jawa Tengah semalam.
Sementara itu, Ketua Umum Gerakan Pemuda (GP) Ansor, Yaqut Cholil Qoumas memberitahu, pihaknya akan melakukan gerakan ‘Rabu Putih’ kepada semua ahlinya pada hari pengundian nanti.
“Gerakan ini kerana keprihatinan kita dengan banyak timbul berita palsu dan tidak betul disamping ucapan kebencian.
“Kita melihat ucapan-ucapan kebencian itu telah mula memecah-belahkan masyarakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Jokowi berjanji untuk membangunakan infrastruktur kereta api di Banjarmasin, Kalimantan Selatan seperti diidamkan warga di situ selain jalan raya baharu antara Batulicin dan Banjarbaru.
“Permulaannya, kita akan melakukan kajian lapangan dan kemudian jika dapat akan dimulakan kerja dengan segera, insyaAllah,” katanya. – AGENSI











