JOHOR BAHRU 28 Mac – Kerajaan negeri akan mewujudkan Jendela Aplikasi Servis dan Solusi (JASS) sebagai platform untuk usahawan negeri ini memasarkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran lebih luas.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, aplikasi tersebut juga akan menjadi platform baharu kepada golongan usahawan dan peniaga tempatan.
“Antara usaha kerajaan negeri untuk merancakkan lagi bidang keusahawanan di negeri ini, kami melancarkan aplikasi JASS.
“Melalui aplikasi ini, golongan usahawan muda khususnya dapat memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara lebih ekslusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor Darul Ta’zim 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini sebentar tadi.
Festival yang menghimpunkan lebih daripada 200 peniaga dan pempamer itu akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Selain usahawan tempatan, festival itu disertai usahawan daripada pelbagai negara antarabangsa antaranya Turki, Syria, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom dan Perancis. – UTUSAN ONLINE











