Kerajaan peruntuk RM2.3 juta bina enam telaga cegah kebakaran hutan gambut - Utusan Malaysia

Kerajaan peruntuk RM2.3 juta bina enam telaga cegah kebakaran hutan gambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Mac – Kerajaan memperuntukkan RM2.3 juta pada tahun ini untuk membina enam telaga tiub di Terengganu, Pahang, Selangor dan Sabah bagi mengepam air ke kawasan tanah gambut yang berperanan sebagai sumber bekalan air ketika kerja-kerja pemadaman api semasa kebakaran.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah diberi peranan dan tanggungjawab dalam mencari sumber air bawah tanah dan membangunkan telaga tiub serta seterusnya mengepam air ke dalam saliran di kawasan tanah gambut.

Menurut beliau, pengepaman akan dibuat apabila berlaku penurunan paras air dalam lapisan gambut sehingga 0.5 meter dari permukaan tanah dan juga apabila berlakunya kebakaran tanah gambut dengan berpandukan prosedur standard operasi (SOP) pihak kementerian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tujuan pengepaman adalah untuk meningkatkan paras air di dalam saliran bagi melembapkan pelapisan dan permukaan tanah gambut tersebut bagi mengawal sebarang kejadian kebakaran selain sebagai sumber air kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi kerja-kerja pemadaman.

“Semenjak program pencegahan kebakaran tanah gambut dilaksanakan sejak 2009, JMG telah membina 85 telaga tiub dengan kos keseluruhan sebanyak RM23.7 juta iaitu masing-masing enam di Terengganu, sembilan di Sabah, 13 telaga di Kelantan dan Selangor serta 15 buah masing-masing di Pahang dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari.

Menurut Xavier lagi, Malaysia sering mengalami masalah persekitaran seperti jerebu ekoran daripada pembakaran tanah gambut serta menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan, keselamatan dan sosio-ekonomi rakyat.

“Sehubungan dengan itu, bermula pada tahun 2009, kerajaan telah melaksanakan program pencegahan kebakaran tanah gambut yang diterajui oleh jabatan-jabatan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli iaitu JMG, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama pihak bomba.

“Pembinaan telaga air bawah tanah untuk pencegahan kebakaran tanah gambut telah berjaya menyumbang dalam mengawal dan mengurangkan kebakaran tanah gambut di negara ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini