KUALA TERENGANU – Bilangan usahawan Terengganu yang memohon sijil pengesahan halal masih berada pada tahap kurang memuaskan iaitu sekitar 20 peratus daripada 500 peniaga berdaftar.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, sambutan dingin tersebut mungkin disebabkan keperluan untuk memohon sijil pengesahan halal yang dirasakan kurang mendesak berikutan kepercayaan diberikan pelanggan terhadap produk mereka.
Beliau berkata, rata-rata pelanggan di negeri yang penduduknya majoriti Melayu dan Muslim tersebut berkeyakinan tinggi dengan status halal produk usahawan tempatan berkenaan.
“Begitupun, kita mungkin akan melakukan sedikit paksaan kepada usahawan tersebut dengan menjadikan pemilikan sijil pengesahan halal sebagai salah satu syarat permohonan bantuan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu pada masa hadapan.
“Selain itu, perbincangan juga akan dilakukan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi memudahkan lagi prosedur untuk menggalakkan lagi lebih ramai usahawan negeri ini memohon sijil pengesahan halal terbabit,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu ketujuh di sini hari ini.
Mohd. Nurkhuzaini berkata, antara prosedur yang dicadang untuk dilonggarkan ialah membenarkan usahawan yang mengusahakan produk tanpa premis perniagaan memohon sijil pengesahan halal berkenaan. – K! ONLINE











