Empat gerai berdekatan Pasar Payang terbakar - Utusan Malaysia

Empat gerai berdekatan Pasar Payang terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 27 Mac – Empat peniaga keropok lekor dan makanan ringan kerugian lebih RM50,000 selepas gerai mereka terbakar dalam kejadian berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu menyebabkan sebuah gerai musnah 100 peratus, dua terbakar 50 peratus manakala sebuah lagi cuma terjejas 10 peratus.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan kebakaran berpunca daripada tumpahan minyak sewaktu sa­lah seorang peniaga sedang menjalankan perniagaan.

Seorang mangsa, Ibrahim Abdullah, 64, berkata, ketika kejadian, dia keluar untuk membeli air di kedai berdekatan sebelum melihat kepulan asap dan api yang berpunca dari gerainya.

Cemas dengan keadaan itu, dia kemudian bergegas ke kedainya dan tidak menolak kemungkinan kebakaran tersebut berpunca daripada rakannya yang menggoreng keropok di gerai miliknya,

“Saya pergi beli air dan masa balik nampak api tetapi tak sempat hendak bawa lari barang,” katanya kepada pemberita.

Seorang lagi mangsa, Zul Azizi Zainal Abidin, 34, yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM10,000 berkata, dia mengetahui mengenai kebakaran itu ketika berada di rumah.

“Semasa kejadian saya di rumah dan ada orang te­lefon minta datang segera ke kedai. Apabila sampai, saya te­ngok barang saya sudah habis terbakar.

“Keropok saya kena (terbakar) sekali dengan dapur. Harga dapur sahaja mence­cah RM4,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ba­lai­ Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Mohd. Zuhan Shafie berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian dalam tempoh dua minit selepas menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 11.41 malam.

“Ketika itu api sedang marak bagaimanapun ia berjaya dipadamkan sepenuh­nya kira-kira setengah jam kemudian pada pukul 12.11 tengah malam.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini