SETIAP tahun hampir puluhan ribu barisan graduan di negara ini berjaya menamatkan pengajian mereka sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) dari dalam mahupun luar negara.
Walaupun ada dalam kalangan mereka berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, namun majoriti daripadanya berusaha untuk mendapatkan pekerjaan agar dapat merancang masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang.
Bagaimanapun, majoriti daripada graduan tersebut menghadapi pelbagai cabaran dan halangan kerana persaingan untuk mendapatkan pekerjaan terlalu sengit.
Justeru, barisan graduan perlu membuat persiapan rapi bagi memastikan mereka mampu muncul sebagai juara dalam persaingan tersebut.
Barisan graduan juga tidak boleh bergantung kepada kelayakan akademik semata-mata kerana pada masa ini ia tidak mampu untuk menjamin masa depan cemerlang sepertimana yang berlaku kira-kira 10 tahun yang lalu.
Terdapat pelbagai kriteria tambahan yang diperlukan oleh majikan selain daripada kecemerlangan akademik untuk membolehkan graduan mampu bersaing dalam pasaran kerjaya pada hari ini dan masa hadapan.
Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga tidak terkecuali daripada senario seperti itu.
Oleh itu, pelbagai langkah proaktif diambil oleh pengurusan UPSI bagi memastikan setiap graduan daripada universiti tersebut mampu bersaing dengan jayanya dalam kerjaya masing-masing.
Antara inisiatif awal yang dilaksanakan adalah memastikan setiap graduan mempunyai pelbagai kemahiran tambahan yang diiktiraf oleh agensi bertauliah daripada kerajaan ataupun swasta.
Antara kemahiran yang diusahakan UPSI ialah menguasai tiga bahasa atau lebih, teknikal dan mengendalikan program.
Kemahiran pelbagai bahasa
Kemahiran menguasai pelbagai bahasa merupakan kriteria utama yang menjadi idaman majikan pada hari ini.
Graduan yang mempunyai kemampuan menguasai pelbagai bahasa mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk diterima bekerja oleh majikan tempatan ataupun multinasional.
Menyedari senario yang sedemikian, setiap pelajar UPSI yang memulakan pengajian mereka mulai sesi 2018/2019 didedahkan dengan kemahiran pelbagai bahasa agar apabila bergraduasi kelak mereka mampu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa.
Antara bahasa yang menjadi fokus ialah bahasa Inggeris, Jepun, Korea, Mandarin, Sepanyol dan Arab.
Kemampuan menguasai bahasa tersebut mampu melonjakkan kualiti graduan UPSI setanding dengan barisan graduan daripada universiti terkemuka dunia.
Graduan UPSI juga dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran teknikal yang mampu menjadikan mereka berbeza dengan graduan universiti lain.
Antaranya kemahiran bakeri, elektrik dan aktiviti lasak.
Semua kemahiran teknikal ini mendapat kelulusan dan pengiktirafan daripada agensi yang bertauliah sama ada dari dalam ataupun luar negara.
Dengan sijil kemahiran itu, graduan UPSI bukan sahaja mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang tercatat dalam kelayakan akademik malah mereka juga mampu melaksanakan tugas lain seperti yang tercatat dalam sijil kemahiran teknikal masing-masing.
Kemahiran kendali program
Graduan UPSI juga mempunyai kemahiran untuk mengendalikan program sama ada yang bersifat nasional dan antarabangsa. Kemahiran sebegini diuruskan oleh Pusat Ulul Albab UPSI.
Pendedahan dibuat kepada pelajar UPSI yang menjadi rakan Ulul Albab untuk pelbagai aktiviti dalam dan luar negara.
Pusat Ulul Albab juga sedang mengusahakan persijilan yang diiktiraf oleh agensi bertauliah agar kualiti graduan UPSI akan terus terbang lebih tinggi.











