KUALA LUMPUR 27 Mac – Impak perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dapat diminimumkan jika negara-negara anggota blok ASEAN saling bersatu dan bekerjasama bagi membentuk blok dagangan yang kukuh seperti Kesatuan Eropah (EU).
Ketika membuat gesaan itu, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, walaupun terdapat beberapa inisiatif dan pelan tindakan bagi memupuk perpaduan ekonomi serantau ketika ini, namun keperluan mempertingkatkan hubungan dagangan dua hala itu masih ketara bagi memastikan kemapanan dan daya tahan pembangunan ekonomi rantau ini.
“’Kita mempunyai pasaran amat besar yang bernilai AS$2.6 trilion selain lebih 622 juta penduduk di ASEAN.
“Malah, sebagai ekonomi ketiga terbesar di Asia dan ketujuh terbesar dunia dari segi kolektifnya, sudah cukup untuk membuktikan betapa penting untuk kita meninjau segmen berpotensi seperti pendigitalan bagi meningkatkan transaksi dan aktiviti dagangan rentas sempadan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Mengulas selanjutnya, Moehamad Izat berkata, seiring dengan peningkatan penggunaan pembayaran secara dalam talian dan mudah alih di peringkat global, ASEAN juga perlu memanfaatkan sepenuhnya mekanisme digital bagi meningkatkan aktiviti dagangan, khususnya dalam bidang logistik dan perhubungan kerajaan-dengan-kerajaan.
“Penggunaan kecerdikan buatan dan analisis data dapat membantu orang ramai memproses lebih banyak data serta mengemukakan saranan selain turut menjadi pemangkin bagi memacu prestasi pasaran.
“Usaha pemahaman dan memanfaatkan teknologi moden dan berpengaruh ini pastinya dapat membantu kita meningkatkan sistem pelaksanaan, kelajuan dan akses kepada maklumat serta data,” katanya.
Namun, tegas beliau, penglibatan aktif kerajaan dalam ASEAN juga sama pentingnya kerana berperanan sebagai pihak pelaksana dasar bagi memastikan kelancaran transaksi serta memudahkan pergerakan barangan atau kargo.
“Ini turut membabitkan kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan wilayah manakala keberkesanan kerjasama teknologi itu bergantung kepada sejauh mana ia dapat digunakan serta dimanfaatkan,” katanya.
Beliau juga turut menggesa kalangan pemilik perniagaan untuk menjadi sebahagian daripada blok perdagangan itu bagi mengembangkan usaha mereka merentas atau melangkaui ASEAN.
“Kita menyasarkan untuk meningkatkan keahlian kepada 500 orang tahun ini. Sehubungan itu, kami menggesa agar lebih ramai pemilik perniagaan menyertai kami supaya mereka dapat dibimbing untuk mengembangkan perniagaan merentasi sempadan,” katanya. – BERNAMA











