PANGGUNG Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bakal digamatkan dengan lontaran vokal tiga penyanyi terkenal iaitu Misha Omar, Siti Sarah Raisuddin dan Noryn Aziz pada 5 dan 6 April ini.
Mereka digabungkan bagi menjayakan Konsert Soul Sisters 2019 yang merupakan idea asal Edd Razhe Entertainment sekali gus menjadi penganjur kepada konsert unggul berkenaan.
Berbaki hanya seminggu lagi sebelum tibanya ‘malam besar’, tentu sahaja ketiga-tiga mereka sedang giat menjalani sesi latihan vokal.
Sekalipun diketahui kesemuanya memiliki kekuatan vokal yang hebat, hakikatnya konsert pada malam itu nanti bukanlah medan untuk menonjolkan kelebihan diri masing-masing.
Ia menerapkan konsep kebersamaan dan saling melengkapi sepanjang lebih dua jam persembahan berlangsung di pentas berpestij itu.
“Kami bertiga ialah penyanyi solo dan berada di landasan selesa. Tetapi kali ini kami diberikan tugasan yang agak berat, namun di sebaliknya kami dapat rasai pengalaman saling melengkapi antara satu sama lain.
“Kami tak boleh pentingkan diri sendiri ketika membuat persembahan nanti. Masing-masing tidak boleh ada keinginan untuk menyerlah seorang diri dan membelakangi yang lain.
“Perlu ada semangat kebersamaan dan kekitaan. Jujurnya konsert akan nampak gagal jika salah seorang daripada kami ada sikap nak berada di hadapan dan meletakkan dua yang lain di belakang,” ujar pelantun lagu Sampai Bila, Misha Omar sambil dipersetujui Noryn dan Siti Sarah.
Nyanyi ikut rukun
DALAM pada itu, Siti Sarah yang hit dengan lagu Semakin, tidak sukar menonjolkan keserasian di atas pentas memandangkan mereka bertiga sudah saling mengenali.
Perbezaan suara akan memberi impak besar dalam memastikan kelancaran konsert yang akan memdengarkan 33 buah lagu secara solo serta medley dalam beberapa segmen.
“Muzik menyatukan kami dalam satu pentas yang sama. Selama dua malam, misi kami ialah untuk menghiburkan peminat yang hadir.
“Istana Budaya pun bukan calang-calang pentas. Justeru, kami perlu menyanyi dengan semangat berpasukan yang tinggi.
“Sebelum ini kalau saya menyanyi solo dan diiringi pemuzik, saya akan ‘main langgar’ sahaja kerana aliran muzik saya memang begitu.
“Untuk kali ini, kami kena nyanyi ikut rukun yang betul dan kena patuh pada peraturan yang sebenar,” ujarnya.
Harga tiket dijual pada kadar RM155 hingga RM755. Bagi mereka yang ingin menonton boleh dapatkan tiket menerusi www.airasiaredtix.com.
Latihan intensif
MENGGUNAKAN khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal, tentu sahaja dapat membayangkan bagaimana paduan suara mereka bertiga nanti.
Menganggap Syafinaz sebagai guru vokal yang tegas, Misha bersyukur apabila pihak penganjur berjaya mempelawa Syafinaz untuk memandu vokal mereka bertiga.
“Saya pernah kerja dengan beliau sebelum ini. Kalau beliau bangun dari tempat duduk, itu bermakna ada yang tidak kena dengan apa yang diinginkan.
“Satu penghargaan dapat sekali lagi bekerja dengannya. Dek jasa beliau jugalah saya mampu kembali menyanyi selepas insiden kehilangan suara tahun lalu,” kongsinya lagi.
Sementara itu, penyanyi Fantasi O Realiti, Noryn berharap diberikan kesihatan baik dan stamina yang mencukupi menjelang konsert tersebut.
Terpaksa berdepan dengan musim panas yang dihadapi pada ketika ini tentu sahaja membuatkan wanita berusia 42 tahun itu menggandakan penjagaan kesihatan.
“Keadaan cuaca yang agak panas sekarang membuatkan kami bertiga membuat penjagaan rapi soal kesihatan.
“Kami berdoa untuk tidak mengalami masalah kesihatan dan masing-masing dikurniakan kesihatan yang baik.
“Selain bersenam dan menjaga pemakanan, kami juga masih berlatih vokal bersama. Ia penting buat kami kerana nak menyelaraskan persembahan supaya lancar pada malam konsert,” kata Noryn.











