KUALA LUMPUR 27 Mac – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar perlu terus berani agar sebarang usaha menghalang langkah bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tercapai.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Nurul Izzah juga perlu terus bergembira dan berani.
“Nurul (Izzah), bergembiralah dan terus berani. Semua usaha untuk menghalang langkah bapamu tidak akan berjaya,” katanya dalam Twitter miliknya hari ini.
Jumaat lalu, Nurul Izzah dalam wawancara bersama dengan akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Susulan itu beliau dikecam pelbagai pihak termasuk kepimpinan PKR yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak wajar.
Malah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi ciapan dalam akaun Twitter menyindir seseorang sebagai ‘budak kecil yang merengek’.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu namun pelbagai pihak yakin sindiran tersebut ditujukan kepada Nurul Izzah.- UTUSAN ONLINE











