LANGKAWI 27 Mac – Bagaikan di medan pertempuran. Itulah gambaran pulau lagenda hari ini dengan kehadiran sebanyak 43 buah kapal perang daripada pelbagai negara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19).
Video oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
Acara perbarisan armada itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diibaratkan umpama peniup semangat kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat di 17 buah kapal berkenaan.
Perbarisan seumpama tersebut dikatakan satu tradisi ketenteraan sejak abad ke-14 iaitu untuk mempamerkan kekuatan dalam usaha mencegah musuh dalam peperangan.
Antara kapal TLDM yang terlibat dalam perbarisan armada ini adalah Kapal Diraja (KD) Kasturi, KD Lekiu, KD Jebat, KD Mahawangsa dan KD Teguh Samudera.
Selain deretan kapal perang, pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh komando Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Tindakan Khas (PTK) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Unit Gempur Marin (Ungerin), 69 Komando (VAT69) dan Unit Tindakan Khas (UTK). – UTUSAN ONLINE











