JOHOR BAHRU 27 Mac – Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Johor (PGSMNJ) mendoakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang baharu, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar agar dapat memberikan khidmat terbaik.
Pengerusi PGSMNJ, Yunos Ismail berkata, pihaknya yakin Mohd. Na’im mampu menjalankan tugas dengan penuh amanah, dedikasi, berintegriti dan mudah-mudahan dapat meneruskan kecemerlangan JKSM pada masa depan.
“Saya mewakili seluruh peguam-peguam syarie negeri Johor mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar atas pelantikannya.
“Tahniah dan selamat maju jaya Datuk,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Semalam, menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Mohd Na’im sebelum ini memegang jawatan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di JKSM.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain berpengalaman menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam serta menjadi Ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Mohd Na’im juga pernah dilantik sebagai profesor adjung oleh Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2012.
Menurut kenyataan itu lagi, kepakaran beliau turut diperakui dunia luar apabila dilantik sebagai Chevening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom, bagi 2008/2009, Felo Pelawat di Harvard Law School, Amerika Syarikat, dan berkhidmat di Universiti Harvard dari Februari hingga Mei 2013.
Mohd Na’im memulakan kerjaya sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1990 hingga 1997. – UTUSAN ONLINE










