PULAU LANGKAWI 27 Mac – Syarikat Sapura mencatat sejarahnya tersendiri apabila melancarkan radio tentera VHF mudah alih generasi kedua, TRC5200 di sini, semalam.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut melancarkan radio mudah alih generasi pertama TRC5102 pada LIMA 1997, dua dekad yang lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Secured Technologies, Datuk Zarif Hashim, sejak dahulu lagi misi syarikat konsisten untuk membangunkan teknologi tempatan dalam elektronik pertahanan.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan kita membina keupayaan agar sektor pembangunan elektronik pertahanan ini boleh berdiri di atas kaki sendiri dan sekaligus membolehkan Malaysia mencapai kedudukan teknologi,” katanya.
Beliau berkta, di Sapura, rakyat merupakan pelaburan terbesar mereka dan walaupun syarikat mengeluarkan peruntukan lebih AS$100 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), dalam masa yang sama, mereka juga telah membina keupayaan dalam tenaga kerja.
Sehubungan itu, kata Zarif, dalam memberikan perkhidmatan, mereka cuba mencari titik keseimbangan antara manusia, mesin dan kaedah untuk mencapai kecemerlangan.
“Usaha itu tidak mengenepikan ketetapan dalam pelaksanaan dan hasilnya, Sapura memperoleh hasil yang melampaui jangkaan,” jelasnya.
Beliau berkata, TRC5200 adalah hasil usaha Sapura selama 20 tahun dalam mengejar misi kritikal teknologi.
Tidak keterlaluan, kata Zarif, jika Sapura berbangga dengan TRC5200 yang didaftarkan dengan Hak Harta Intelek (HHI) Sapura kerana ia direka 100 peratus, dibangunkan dan seterusnya dikilangkan oleh jurutera-jurutera tempatan dengan bantuan pakar-paka di Malaysia.
Beliau menambah, jajaran keluaran produk Sapura mempunyai rekod prestasi yang cemerlang setelah dijual lebih daripada 5,000 unit kepada 10 buah negara di Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan dengan angaran nilai RM70 juta.
“Angkaan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan radio ini sekarang khusunya oleh Rejimen Infantri dalam Tentera Darat Malaysia,” katanya.
Alat komunikasi ini dilengkapi dengan pemprosesan digital berprestasi tinggi selain daripada penyiaran digital berkaitan dengan “Built-in encryption” bagi menjamin kerahsiaannya terjamin dan komunikasi selamat.
Untuk rekod, TRC5200 digunakan sebagai alat komunikasi oleh ATM ketika penugasan dan operasi bagi membolehkan anggota yang bertugas dapat berhubung di antara satu sama lain secara langsung dan tepat.
“Radio TRC5200 juga membolehkan perhubungan data antara radio di mana ia membolehkan penghantaran mesej ringkas di antara pengguna.
“Oleh kerana radio ini mempunyai antenna GPS, markas operasi dan Komander boleh menjejaki anggota melalui aplikasi Blue Force Tracking (BFT) yang dibangunkan secara bersama,” katanya.
Sapura juga terbukti berkeupayaan membangunkan perisian kompleks dan memanupulasi enjin perisian bertaraf dunia dan mengubahnya menjadi teknologi yang sama standard seperti yang digunakan oleh NATO. – UTUSAN ONLINE










