Remaja 15 tahun antara 4 individu ditahan bersama dadah - Utusan Malaysia

Remaja 15 tahun antara 4 individu ditahan bersama dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN – Remaja lelaki berusia 15 tahun bersama ibunya menjadi antara empat individu ditahan bersama 878.82 gram dadah heroin serta 12.28 gram syabu bernilai RM15,600 semasa serbuan polis di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, remaja yang masih bersekolah itu didapati negatif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing.

“Hanya seorang suspek lelaki didapati positif dadah jenis metamfetamin. Empat suspek berusia 15 hingga 40 tahun itu berasal dari Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain heroin dan syabu yang mencukupi untuk kegunaan 1,000 penagih, polis turut merampas kereta jenis Proton Iswara yang digunakan suspek,” katanya.

Bercakap ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran di sini hari ini, Norzamri menambah, semua suspek ditahan di sebuah warung berdekatan Masjid Batu 9 di sini kira-kira pukul 9.15 pagi.

Ujar beliau lagi, siasatan awal turut mendapati dua suspek utama masing-masing mempunyai empat rekod berkaitan jenayah serta dadah.

“Semua suspek direman sehingga 1 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini