KUALA LUMPUR 27 Mac – Sentimen negara tidak sepatutnya diberatkan kepada projek-projek seperti kereta nasional ketiga atau kemelut yang dihadapi ketika ini oleh Malaysia Airlines Bhd. (MAS).
Memetik laporan The Malaysian Reserve, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, syarikat yang ditubuhkan di negara ini tidak seharusnya menanggung impak daripada label nasional berkenaan.
Sebaliknya, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyifatkan syarikat-syarikat tersebut harus dibenarkan untuk beroperasi secara bebas sebagai entiti perniagaan yang bebas.
“Saya tidak begitu gemar menggunakan perkataan ‘nasional’ kerana tiada negara di dunia ini mempunyai kereta nasional. Malah, tiada sesiapa yang mahu membeli kereta nasional orang lain.
“Malah, saya sendiri memberitahu beliau (Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) bahawa rakyat Jepun mempunyai kereta yang hebat namun tiada kereta nasional. Rakyat Jerman juga mengeluarkan kereta cantik, hebat dan berteknologi tinggi tetapi tidak ada kereta nasional Jerman.
“Jadi, apa yang kita harus lakukan adalah mengeluarkan kereta buatan Malaysia yang paling tinggi dari segi teknologi dan mesra alam.. itu yang perlu kita galakkan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama The Malaysian Reserve yang siarkan hari ini. – UTUSAN ONLINE.











