Polis Selangor lancar program '1 Masjid 1 Polis' - Utusan Malaysia

Polis Selangor lancar program ‘1 Masjid 1 Polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis Selangor akan menempatkan pegawai di 424 buah masjid yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di bawah program ‘1 Masjid 1 Polis’.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, penempatan pegawai yang dikenali pegawai perhubungan masjid itu bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan di rumah ibadat di negeri ini melalui kerjasama dengan pihak JAIS.

Beliau berkata, pegawai yang ditempatkan di rumah ibadat itu akan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa masjid bagi menangani masalah seperti kecurian tabung masjid, curi kereta dan beg jemaah masjid.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berharap dengan penempatan pegawai perhubungan masjid ini kariah dan ahli jawatankuasa masjid boleh berhubung terus dengan pihak polis dalam menyalurkan segala maklumat terutamanya berkaitan jenayah di kawasan mereka.

“Ini berikutan mengikut statistik, sebanyak 89 kes jenayah dilaporkan berlaku di kawasan masjid pada tahun lalu, manakala bagi tempoh awal Januari lalu sehingga semalam sudah 17 kes telah dilaporkan, “katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian ‘1 Masjid 1 Polis’ di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini. 

Turut hadir Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Menurut beliau, pihaknya juga akan meneliti untuk meneruskan program tersebut ke rumah-rumah ibadat agama lain di seluruh Selangor sekiranya mendapat permintaan daripada pihak rumah ibadat terbabit.

Sementara itu, Haris berkata program berkenaan merupakan satu kerjasama strategik yang cukup baik antara pihaknya, komuniti masjid dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Isu keselamatan merupakan perkara yang amat dititikberatkan, dengan program ini kita mahu masyarakat tahu bahawa aspek keselamatan di masjid amat dititik beratkan dan pengunjung boleh beribadah dengan selesa serta selamat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini