KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita empat buah kilang haram dalam operasi bersepadu di kawasan Sungai Chandong, Pelabuhan Klang, di sini hari ini.
Dalam operasi bermula pukul 9 pagi, keempat-empat buah kilang itu melibatkan memproses baja, minyak dan plastik.
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, kesemua kilang yang disita didapati melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen sama ada mengilang, memproses atau menyimpan.
“Setakat pukul 12 tengah hari ini, kita memeriksa lima buah kilang dengan empat daripadanya didapati beroperasi secara haram.
Saya beri amaran kepada pemilik tanah supaya mereka bersihkan kawasan persekitaran. Sekiranya gagal, kita akan membawa perkara ini kepada Pejabat Tanah dan Daerah untuk tindakan merampas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau yang turut menyertai serbuan itu menegaskan penyitaan dilakukan mengikut Undang-undang Kecil 3, Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007. – K! ONLINE











