IPOH – Padah memberi suapan bernilai RM150 kepada seorang pegawai polis, seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim S. Indra Nehru membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Syed Ijaz Ali Shah, 28, selepas dia mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit didakwa secara rasuah menawarkan suapan berbentuk wang tunai sebanyak RM150 kepada Ketua Balai Polis Sungai Siput Utara, Inspektor Abdul Wahed Hamid.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Balai Polis Sungai Siput Utara, Kuala Kangsar dekat sini pada pukul 1.30 petang 20 Mac lalu.
Suapan itu dilakukan tertuduh sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang kenalannya yang ditangkap atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, R. Kumuthambal manakala tertuduh diwakili peguam bela, R. Rajasegaran.
Indra Nehru kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tempoh sebulan dan denda RM10,000 terhadap tertuduh. Jika dia tidak membayar denda tersebut, dia akan dikenakan hukuman penjara tambahan selama enam bulan. – K! ONLINE











