CYBERJAYA – Rangkaian 4G semasa negara berhadapan masalah throughput yang rendah iaitu sembilan megabit sesaat (Mbps) atau 36 peratus di bawah purata untuk tempoh tertentu.
Buat masa ini, purata kelajuan muat turun 4G di Malaysia adalah 21.1 Mbps.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, ia berpunca daripada kesesakan antara elemen rangkaian seperti antara muka radio (radio interface) dan rangkaian teras.
Menurutnya, ini adalah kesan daripada seni bina rangkaian end-to-end yang mempunyai hanya 40 peratus gentian optik di Base Transceiver Stations (BTS).
Ketua Pegawai Sektor Digitalnya, Gerard K. M. Lim dalam kenyataan sama memberitahu, potensi kesesakan ataupun titik kesesakan adalah antara rangkaian teras dan BTS.
“Oleh itu, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi mesti merancang bagi memastikan capaian 4G sedia ada dioptimumkan dan pada masa sama, membuat persiapan ke arah keperluan 5G.
“Teknologi 5G menjanjikan 1gigabit sesaat untuk setiap pengguna dan jika kerja-kerja penaiktarafan rangkaian teras tidak diberi perhatian, masalah throughput yang sedang melanda negara akan kekal,” katanya di sini hari ini.
SKMM berkata, pihaknya mengumumkan kerjasama 5G pada November tahun lalu namun penerimaan penuh 5G hanya akan dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Justeru, katanya, apa yang penting buat masa ini adalah untuk mempertingkat dan mengoptimumkan seni bina rangkaian semasa bagi menangani masalah kesesakan dan menguruskan isu jalur lebar yang tinggi.
Sementara itu, Gerard memberitahu, matlamat utama adalah untuk memastikan pengguna menikmati pengalaman yang positif tanpa dibelenggu dengan sebarang isu kesesakan.
“Ini selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara yang menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital kukuh, menyeluruh dan berkualiti tinggi tatkala negara melangkah ke fasa kemajuan teknologi yang seterusnya,” katanya. – K! ONLINE











