PELABUHAN KLANG 27 Mac – Seorang pemandu treler nyaris maut apabila kenderaan dipandunya secara tiba-tiba terbalik di satu selekoh Jalan Pintasan di sini pagi tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 pagi itu, pemandu berusia 47 tahun itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan mengatakan terdapat sebuah treler dari arah Northport menuju ke Westport terbalik.
“Berdasarkan keterangan pemandu terbabit, punca treler yang membawa barangan plastik itu terbalik berikutan kegagalan fungsi brek.
“Akibat daripada kejadian, satu lorong bagi laluan dari arah Jalan Pelabuhan Barat terpaksa ditutup namun tiada kesesakan lalu lintas setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










