Liu Ying yakin bangkit di Malaysia - Utusan Malaysia

Liu Ying yakin bangkit di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS mengharungi dua kejohanan yang agak mengecewakan pada kejohanan badminton Terbuka Jerman dan All England, pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying menegaskan dia enggan dilanda kekecewaan lagi.

Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon tekad untuk menampilkan aksi lebih agresif pada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu depan dalam misi memburu gelaran kedua musim ini.

Katanya, prestasi pada dua kejohanan terdahulu tidak mencapai standard sebenar mereka, sekali gus mengundang kekecewaan memandangkan mereka mahu memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara jujur, memang kami tidak berpuas hati dengan prestasi sendiri pada All England dan Terbuka Jerman kerana banyak melakukan kesilapan mudah sehingga membenarkan pemain lawan mengambil kesempatan mengutip mata demi mata.

“Justeru, saya harap kami boleh bangkit dan buktikan kemampuan sebenar pada Terbuka Malaysia beberapa hari sahaja lagi. Saya sudah berbincang dengan jurulatih dan Peng Soon mengenai apa yang perlu dilakukan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun mengharungi sai­ngan awal musim yang agak kurang memberangsangkan, namun pe­­menang pingat perak Sukan ­Olimpik Rio 2016 itu sudah memiliki satu gelaran musim ini apabila merangkul kejuaraan Thailand Masters di Bangkok Januari lalu.

Mengenai sasaran pada Terbuka Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$700,000 (RM2.9 juta) itu, Liu Ying berharap mereka mampu melayakkan diri ke peringkat suku akhir terlebih dahulu sebelum berfikir untuk melangkah lebih jauh.

“Sasaran utama kami adalah untuk pastikan mara ke pe­ringkat suku akhir sebelum me­rangka strategi baharu untuk me­langkah ke peringkat lebih tinggi. Buat masa ini, semua persiapan berjalan lancar.

“Saya yakin kami akan turun dengan semangat serta motivasi tinggi memandangkan kita bakal beraksi di laman sendiri. Sokongan penonton tempatan pastinya mampu memberi lebih keyakinan pada kejohanan itu nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini