‘Bola racun’ ke pentas dunia - Utusan Malaysia

‘Bola racun’ ke pentas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA penggiatnya yang pernah menamakan sukan ini, ‘bola racun’ dan tidak kurang yang memanggilnya, ‘bola cop’ atau ‘bola elak’.

Hanya berbeza panggilan namun apabila digambarkan cara asas permainan ketiga-tiganya, dodgeball adalah nama rasminya.

Dodgeball diperkenalkan di Malaysia sejak 2008 dan Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) telah ditubuhkan untuk mempromosi dan membangunkan sukan ini, setahun kemudian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anehnya, terdapat sebuah lagi badan induk kebangsaan, Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) yang ditubuhkan tiga tahun lalu.

Jika MAD bernaung di bawah Persekutuan Dodgeball Dunia (WDBF) yang mempertandingkan Kejohanan Dunia setiap tahun, MDF pula menjadi ahli gabungan Persatuan Dodgeball Dunia (WDA) yang menganjurkan Piala Dunia secara dwitahunan.

Begitupun kegigihan MAD dalam merangka program dan membangunkan sukan ini secara lebih tersusun dari peringkat akar umbi hingga tahap elit, telah menyaksikan hasil yang cukup lumayan.

“Hasilnya ialah kejayaan bersejarah skuad negara kendalian MAD yang memenangi gelaran berganda lelaki dan wanita Kejohanan Dodgeball Dunia 2017di Toronto, Kanada,” kata Setiausaha Agung MAD, Yeo Wai Tat .

Pada Oktober tahun lalu, skuad lelaki negara juga mempertahankan gelaran dunia dengan kemenangan tipis ‘sudden death’ 5-4 terhadap Amerika Syarikat di padang parquet (lantai kayu) yang berbeza dengan padang tiruan yang biasa digunakan di Malaysia.

Dalam cuaca sejuk yang menyelubungi kejohanan edisi ketujuh di LA Hangar Studios, Los Angeles, California itu, skuad wanita negara yang juga bekas juara dunia 2016 kalah bermaruah 8-5 selepas sengit menyaingi tuan rumah.

Kejohanan Dunia Kelapan anjuran WDBF bakal berlangsung dari 27 hingga 30 November ini di Cancun, Mexico.

Cara dan matlamat permainan dodgeball ialah menyingkirkan pemain lawan manakala yang bertahan, perlu mengelak terkena serangan bolanya.

Satu mata dimenangi pasukan apabila semua pemain lawan dikeluarkan dengan membaling bola yang mengenai anggota badan mereka.

“Pusingan baharu permainan akan dimulakan selepas itu yang kebiasaannya akan berlangsung selama 40 minit. Pasukan yang mengumpul mata lebih banyak, diisytihar sebagai pemenang,” katanya.

Jelasnya, walaupun sukan ini seperti mahu ‘menyakiti’ lawan dengan rejaman tangan, namun bola foam yang digunakan tidak menyengat atau meninggalkan kesan kecederaan mahu pun calar-balar pada badan pemain.

“Diameter bolanya ialah 17.78 sentimeter dengan seberat 140 gram.

“Bola ini mampu digenggam kemas, dibaling dengan kelajuan tinggi dan agak sukar ditangkap apabila direjam terhadap lawan. Justeru pemain lebih kerap mengelak bola daripada cuba menangkapnya.

“Ciri-ciri gerakan unik, mengujakan dan menyeronokkan ialah pada kemahiran ‘motor’ pemain seperti merejam, menangkap, menahan atau menyekat, mengelak, menjungkit, memperdayakan dan mengumpan.

“Terdapat variasi kaedah dan kemahiran merejam seperti overarm/atas bahu (mirip besbol), hayunan tepi, underarm/bawah bahu (ala sofbol), balingan dada, sungkit gelang dan balingan belakang tangan sementara cara bertahan ialah melompat, menunduk, berbaring dan lolos sisi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini