Indonesia Maju atau Menang? - Utusan Malaysia

Indonesia Maju atau Menang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURANG sebulan lagi, Pemilihan Presiden (PILPRES) 2019 akan berlangsung. Pemilihan kali ini lebih meriah kerana selain memilih presiden dan wakil presiden, rakyat Indonesia turut menjayakan Pemilihan Legislatif atau Pemilu Legislatif 2019 yang diadakan secara serentak pada 17 April akan datang.

Mereka bakal memilih 575 orang anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 orang Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah 2019.

Bagaimanapun, tumpuan pastinya diberikan kepada persaingan untuk berebut jawatan presiden dan wakil presiden. PILPRES kali ini memperlihat dua gagasan besar yang dibawa oleh pasangan Jokowi Widodo dan Ma’ruf Amin serta Probowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasangan nombor satu, iaitu Jokowi/Ma’ruf memilih “Indonesia Maju” manakala pasangan nombor dua, Probowo/Sandiaga menawarkan “Indonesia Menang”.

Pelancaran operasi MRT oleh Presiden Indonesia, Jokowi (dalam bahasa Indonesia disebut sebagai Moda Raya Terpadu) pada 24 Mac lalu yang menghubungkan antara Lebak Bulus dan Bundaran HI sejauh 16 kilometer melewati 13 stesen pastinya berlaku pada saat yang tepat ketika demam PILPRES semakin panas.

Projek MRT ini dilihat sebagai terjemahan kepada kempen Indonesia Maju oleh Jokowi yang mahu melihat Jakarta setanding dengan bandaraya dunia lain. Pengangkutan awam yang efisien adalah ciri utama sebuah bandaraya terkemuka yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

INDONESIA MAJU

Selain MRT, Jokowi terus memperteguh infrastruktur Indonesia dengan jalinan lebuh raya yang dapat mempermudah hubungan rakyat Indonesia. Dalam tempoh empat tahun menjadi presiden, Jokowi telah menyediakan 616 kilometer jalan tol di Jawa bagi kemudahan rakyat Indonesia.

Tidak dinafikan, kempen Indonesia Maju oleh Jokowi banyak tertumpu soal prasarana dan kemudahan fizikal untuk rakyat.

Sebagai sebuah negara yang besar dan mempunyai kedudukan geografi yang mencabar, Indonesia sememangnya memerlukan infrastruktur yang baik bagi menghubungkan rakyat yang kini mencecah 265 juta orang.

Jokowi percaya, prasarana yang baik seperti jalinan raya dan pengangkutan awam moden akan memudahkan pergerakan rakyat Indonesia, sekaligus meningkatkan produktiviti dan hasil ekonomi mereka.

Peningkatan hasil ekonomi akan dapat memperbaiki taraf hidup rakyat dan ini baik untuk pengukuhan demokrasi di Indonesia apabila masyarakat boleh keluar dari garis kemiskinan.

Inilah sebenarnya sebahagian intipati penting dalam gagasan Indonesia Maju yang dibawa oleh Jokowi.

Gagasan Indonesia Menang yang dibawa oleh pasangan Probowo dan Sandiaga menawarkan makna kemajuan Indonesia yang lebih mendalam. Premis mereka adalah kemajuan Indonesia mesti memberi manfaat kepada rakyat Indonesia. Justeru, apakah ertinya pembangunan jika ia hanya dibolot oleh pemodal dan entiti asing sedangkan masyarakat berputih mata.

KEADILAN EKONOMI

Kekayaan Indonesia didakwa masih lagi dikuasai oleh segelintir pihak seterusnya mewujudkan jurang ekonomi yang besar. Taraf ekonomi khususnya kumpulan pribumi dan umat Islam yang masih jauh terkebelakang, memerlukan campur tangan seperti dasar dan kebijakan pemerintah yang dapat menawarkan pelbagai inisiatif yang strategik.

Dalam menangani hal ini, pasangan Probowo dan Sandiaga memperjuangkan soal keadilan ekonomi. Hal ini penting kerana kesenjangan ekonomi antara segmen masyarakat boleh membawa impak besar berkaitan wacana Politik Identiti.

Soal peluang pekerjaan untuk golongan muda menjadi fokus pasangan Probowo dan Sandiaga. Latar belakang Sandiaga sebagai pengusaha dan pernah berkhidmat sebagai Wakil Gabenor Jakarta telah memperkenalkan program OKE OCE atau One Kecamatan, One Center of Entrepreneurship bertujuan memperkasa masyarakat dalam keusahawanan dan industri kecil sederhana.

Sudah tentu jika pasangan ini terpilih, program seumpama ini akan diperbanyakkan lagi.

Ledakan Revolusi Industri Keempat yang memberi ancaman kepada jumlah pekerjaaan dijangka akan diamati sebaik mungkin oleh calon PILPRES kali ini.

Penggunaan teknologi yang semakin meluas seharusnya mengupayakan rakyat untuk terus berjaya dalam lapangan pekerjaan. Dalam kata lain, teknologi boleh melancarkan perniagaan tetapi bukan menggantikan manusia atau insan.

REFERENDUM RAKYAT

Tidak dinafikan, PILPRES kali ini adalah referendum rakyat terhadap ekonomi. Jika majoriti pengundi Indonesia berpuas hati denga pencapaian ekonomi negara, maka Jokowi akan terpilih sekali lagi sebagai presiden hingga 2024.

Sebaliknya, jika pengundi Indonesia tidak berpuas hati dengan kos hidup dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, maka tidak mustahil pasangan Probowo dan Sandiago akan terpilih.

Isu ekonomi sememangnya menjadi isu utama dalam pilihan raya. Bukan sahaja di Indonesia tetapi di negara lain termasuk Malaysia.

Tentu kita masih ingat lagi isu kos sara hidup yang tinggi, GST dan pendidikan percuma yang mewarnai pilihan raya umum tahun lalu. Betapa besarnya isu ekonomi ini sehingga boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Saya berkesempatan ke Jakarta bagi menyantuni jemputan untuk menyampaikan syarahan utama dalam Seminar Antarabangsa Politik Identiti di Indonesia dan Malaysia pada 28 Mac ini di Universitas Ibnu Chaldun (UIC). Pastinya, pada kesempatan ini, saya mengambil peluang untuk mengikuti perkembangan PILPRES secara lebih dekat.

Sudah tentu, perjumpaan dengan sarjana dan akademia Indonesia memungkinkan saya mendapat cerita politik Indonesia yang lebih panas dan sensasi.

Juga teruja menaiki MRT, lambang pengangkutan awam moden Jakarta. Sambil mencari jawapan terhadap pilihan PILPRES kali ini, sama ada Indonesia Maju atau Indonesia Menang.

PROF. MADYA DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN ialah pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Penganalisis Politik Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini