Charity Shoppe utamakan kualiti - Utusan Malaysia

Charity Shoppe utamakan kualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH tujuh tahun beroperasi, premis jualan, Charity Shoppe milik Islamic Relief Malaysia (IRM) yang terletak di Bangi, Selangor kini tampil dengan perubahan lebih signifikan.

Bukan hanya susun atur, sasaran penderma dan penambahan item jualan yang baharu, tetapi lebih penting adalah bagi memastikan barangan sumbangan orang ramai benar-benar ada nilai.

Pegawai Charity Shoppe, Nur Hazlinda Mohd. Azmi berkata, menerusi kempen Donate Something Nice yang dilancarkan diharap meningkatkan kesedaran menderma dalam kalangan masyarakat umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah tambahnya, ia juga sejajar dengan slogan baharu premis tersebut iaitu ‘Menang memberi, Menang memakai’ yang mahu memupuk semangat orang ramai untuk menderma barang bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain.

“Pengalaman sebelum ini, hampir 70 peratus barangan sumbangan yang kami terima tidak begitu elok dijual kepada umum terutama pakaian, sama ada dibuang atau dihantar ke pusat kitar semula,” katanya ketika ditemui di kedai itu, baru-baru ini.

Charity Shoppe yang dibuka secara rasmi pada 21 April 2012 menjadi kedai pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menampilkan konsep sedemikian. Ia juga merupakan kedai wakaf IRM.

Antara barangan boleh didapati di Charity Shoppe termasuk pakaian, peralatan dapur, permainan kanak-kanak, alat muzik, buku dan novel sehingga ke basikal, beg tangan, perhiasan dan peralatan elektrik.

Rentetan itu, Charity Shoppe mengambil langkah lebih agresif bagi memastikan trend sedemikian tidak lagi berulang kerana barangan derma itu bukan hanya untuk dijual, tetapi ada ketikanya didermakan kepada yang memerlukan.

Antaranya adalah menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan, organisasi swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Selangor.
JALINAN KERJASAMA

Jalinan kerjasama itu disifatkan Nur Hazlinda sebagai memudahkan lagi pihaknya untuk menyampaikan mesej kepada penderma agar bersikap prihatin terhadap kualiti barangan yang ingin didermakan.

“Terbaru, kami berkunjung ke sebuah agensi kerajaan di Putrajaya, bukan hanya untuk program kempen tetapi juga mengambil barangan yang didermakan oleh mereka.

“Selepas ini, kami sudah ada beberapa agensi kerajaan dan organisasi swasta di Kuala Lumpur yang bersetuju untuk berbuat perkara sama,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nur Hazlinda memberitahu, pihaknya juga turut mewujudkan kafe mini dalam kedai itu bagi menjual produk makanan yang bersesuaian pada harga berpatutan.

Langkah tersebut tambahnya bertujuan membuka peluang kepada orang ramai khususnya asnaf yang ada produk makanan berpotensi untuk dijual di kedai wakaf IRM tersebut.

“Setakat ini kami ada jual nasi lemak, roti, minuman panas dan pelbagai jenis kuih muih. Hingga kini sambutannya amat menggalakkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini