KUALA LUMPUR 26 Mac – Pemaju projek pembinaan lebuh raya perlu patuh kepada syarat dan peraturan melakukan kerja bagi memastikan sistem perparitan tidak tersekat hingga menyebabkan banjir.
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika dihubungi memberitahu, pihak pemaju tidak boleh ‘lepas tangan’ dan sepatutnya memainkan peranan untuk memastikan saluran longkang dan parit sedia ada tidak terganggu akibat kerja-kerja yang dijalankan.
“Selalunya projek pembinaan ini menyebabkan halangan laluan air yang mungkin nampak tidak kritikal tetapi apabila berlaku hujan lebat ia boleh menjadi bencana.
“Saliran keluar air juga perlu mengambil kira kemampuan untuk menampung jumlah air bagi mengelak banjir berlaku dalam masa yang singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kenyataan itu bagi mengulas punca berlakunya banjir kilat di sekitar Kampung Datuk Keramat semalam.
Banjir menyebabkan laluan sepanjang landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek, laluan berhadapan Stesen LRT Setiawangsa dan laluan dari Jelatek menuju Jalan Ampang terjejas teruk. – UTUSAN ONLINE











