PUTRAJAYA – Mulai 1 April ini mana-mana individu dan organisasi boleh menyemak rekod jenayah seksual melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK), kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh
Beliau berkata, pihak berkaitan termasuk ibu bapa yang ingin mendapatkan khidmat pengasuh, pengusaha pusat jagaan yang ingin memeriksa latar belakang pemohon kerja dan semua pusat kemudahan yang melibatkan kanak-kanak juga boleh menggunakan sistem berkenaan.
Tambahnya, semakan secara percuma itu boleh dibuat di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan daerah dengan memberikan nombor kad pengenalan atau pasport milik individu yang perlu disemak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran sistem semakan berkenaan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini,
Menurutnya, semakan di JKM negeri boleh mendapat keputusan serta-merta manakala semakan di JKM daerah memerlukan lima hari waktu bekerja.
“Semakan hanya akan memberikan jawapan sekiranya ada rekod atau tiada rekod sahaja. Butiran mengenai kesalahan yang dilakukan tidak akan diberikan kerana ia adalah maklumat sulit dan persendirian,” katanya. – Bernama











