KUALA LUMPUR 26 Mac – Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Roslan Bek Ahmad akan menyokong penuh pelaksanaan lapan teras yang difokuskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dalam usaha mengurangkan kadar jenayah sekali gus memastikan bandar raya ini terus selamat.
Roslan Bek berkata, beliau akan terus berada di belakang Datuk Seri Mazlan Lazim dalam misinya sejak dua tahun lalu untuk mengurangkan kadar jenayah tumpuan yang merangkumi kegiatan ragut, gengsterisme, dadah, pengganas, judi, penipuan, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan samseng jalanan.
“Pelantikan ini memberi ruang kepada saya untuk mempamerkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya di ibu negara.
“Tugas ini memerlukan komitmen, pengorbanan serta daya pengetahuan yang tinggi kerana situasi semasa yang sangat mencabar dan saya berharap warga polis Kuala Lumpur akan memberi kerjasama sepenuhnya dan terus menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan penyerahan tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di antara Roslan Bek dan pemangku jawatan itu, Senior Asisten Komisioner Rusdi Md. Isa yang turut disaksikan oleh Mazlan.
Roslan sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Kepolisan Am) menggantikan Datuk Zainuddin Yaacob yang kini bertugas sebagai Ketua Polis Kedah. Sementara itu, Mazlan berkata pengalaman Roslan akan memantapkan lagi pasukan seterusnya membantu mengurangkan kadar jenayah di ibu negara.
“Saya berharap Roslan dapat memainkan peranan penting dalam memastikan kontinjen ini sentiasa di tahap yang membanggakan walaupun berdepan cabaran,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











