KUALA LUMPUR – Sejumlah tujuh juta orang dewasa, sama ada didiagnos atau tidak didiagnos, dianggarkan akan terjejas akibat diabetes di Malaysia menjelang 2025, suatu trend membimbangkan yang akan menyaksikan kelaziman diabetes iaitu 31.3 peratus dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini, kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang merupakan kadar tertinggi di Asia dan antara yang yang tertinggi di dunia.
“Peningkatan eksponen ini begitu ketara dalam diabetes jenis 2, yang penyebab utamanya adalah berat badan berlebihan dan kurang aktiviti fizikal,” katanya ketika merasmikan Simposium Bioperubatan Cambridge-Oxford Sunway ketiga bertajuk ‘Diabetes: Melenyapkan Pembunuh Senyap’ di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian serius kepada peningkatan eksponen ini, kerana ia semakin menjadi beban ekonomi utama kepada sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.
Dzulkefly berkata, sungguhpun Malaysia mempunyai sistem awam dan swasta yang selari, sebahagian besar rawatan bagi penyakit kronik disediakan oleh sistem kesihatan umum dengan subsidi yang sangat besar daripada kerajaan.
“Impak diabetes terhadap masyarakat sangat besar kerana ia boleh membawa beban ekonomi yang besar kepada penghidap diabetes dan keluarga mereka dari segi bil perubatan yang perlu ditanggung sendiri, kehilangan pendapatan keluarga yang berkaitan dengan hilang upaya dan kematian sebelum waktunya serta penjagaan anggota keluarga yang kurang upaya,” katanya. – Bernama











