KUALA LUMPUR 25 Mac – Bekas wartawan Channel W hari ini mengemukakan memorandum kepada dua kementerian bertanggungjawab mendesak tindakan diambil terhadap pemilik syarikat penyiaran tersebut.
Dua kementerian itu adalah Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia selain turut menyerahkan memorandum yang sama kepada Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga bekas Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Menurut wakil bekas wartawan Channel W, Mohd. Haizal Yatiran, tindakan tegas perlu diambil kerana pemilik syarikat Ritz Corporate Holding Berhad itu telah menzalimi 15 orang media yang terdiri daripada wartawan dan pengarang.
“Kami bertugas buat buletin, apabila minta kontrak sebagai hitam putih pelantikan jawatan, majikan berdolak-dalik dengan macam-macam alasan yang tak masuk akal.
“Antara alasan yang diberikan adalah Bahagian Sumber Manusia tak masuk lagi. Apabila hujung bulan kami bertanyakan bayaran gaji, majikan beri alasan tak logik seperti masalah teknikal, perlu uruskan proses bank dan selesaikan cek sehingga berhari-hari,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Haizal bersama bekas rakan sekerjanya di Channel W menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Lim Eng Hock di luar perkarangan Parlimen, di sini.
Sementara itu, Abdullah Sani berkata, dua kementerian yang bertanggungjawab perlu mengharamkan pemilik syarikat berkenaan yang dikenali sebagai Khairul Ahmad daripada menggunakan platform Channel W bagi menzalimi orang lain.
“Saya tidak boleh berkompromi dengan tindakan pemilik syarikat ini dan akan memastikan kementerian yang bertanggungjawab mencari pemilik Channel W ini untuk diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.
Minggu lalu, sekumpulan bekas pekerja Channel W yang disiarkan melalui MyTV merujuk masalah gaji mereka ke Jabatan Tenaga Kerja. – UTUSAN ONLINE











