KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sudah mempunyai satu prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengendalikan kes membabitkan tahanan autisme.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, satu jawatankuasa khas diketuai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan & Pembangunan) Bukit Aman, Datuk Ramli Din ditubuhkan bagi merangka SOP tersebut.
Katanya, SOP itu dirangka susulan kes penahanan seorang remaja yang juga penghidap austisme di Selangor pada September lalu sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.
“Bagi mengatasi masalah berhubung penahanan sebegitu (suspek austisme) tidak berulang, saya minta satu jawatankuasa merangka SOP baharu.
“Jawatankuasa itu mengambil masa kira-kira enam bulan untuk merangka SOP berkenaan termasuk mengadakan bengkel sebelum kita merasmikan buku panduan (SOP) itu hari ini (semalam),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke -212 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol KL) di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Fuzi berkata, dua pusat austisme akan dibangunkan di Pulapol KL dan di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras.
“Proses pembinaan akan dilakukan malah kita juga mendapatkan nasihat pakar daripada universiti tempatan berhubung perkara tersebut.
“Selain itu, kita juga ambil perhatian berhubung kira-kira 484 anak warga PDRM di seluruh negara penghidap austisme,” ujarnya. – K! ONLINE











