Mahkamah benar Hafarizam tukar penjamin - Utusan Malaysia

Mahkamah benar Hafarizam tukar penjamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mac – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta untuk menukar penjamin.

Hakim Azman Ahmad memutuskan demikian selepas mendengar permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd. Hafarizam ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Terdahulu, Hasnal Rezua memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk menukar penjamin ekoran penjamin terdahulu iaitu Aisha Mubarak bukan lagi rakan kongsi firma anak guamnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, untuk mewujudkan hubungan (nexus), kami memohon

Aisha digantikan kepada penjamin baharu iaitu Noor Arlisma Zainul Ariff,” katanya.

Mahkamah turut mengekalkan jumlah jaminan dan syarat tambahan yang ditetapkan sebelum ini.

Pada 21 Februari lalu, Mohd. Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam “client account” firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd. Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam “Client Account” firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini