SHAH ALAM – Skuad bawah 22 tahun (B-22) negara terus memberikan tekanan kepada pasukan pendahulu, China meskipun mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan J kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Dalam aksi tersebut, Muhammad Safawi Rasid mampu menjadi penyelamat buat skuad negara apabila gol tunggal perlawanan terhasil menerusi sepakan percuma jarak jauhnya pada minit ke-81 perlawanan.
Tiga mata yang diraih skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tersebut mampu mencerahkan harapan Harimau Muda untuk melangakah ke pusingan akhir dengan syarat mereka perlu menundukkan China pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Keputusan itu meletakkan Malaysia pada tangga kedua di belakang China meskipun berkongsi enam mata yang sama sementara Laos pada kedudukan ketiga dan Filipina sebagai pasukan tercorot Kumpulan J.
Berdasarkan format kejohanan, hanya 11 pasukan juara dan lima pasukan kedua terbaik daripada 11 kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Thailand pada Januari tahun depan. – K! ONLINE











