Keluarga asnaf tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Keluarga asnaf tinggal sehelai sepinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 24 Mac – Malang menimpa sebuah keluarga asnaf di Kampung Duyong, Seberang Takir dekat sini yang kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka sewa musnah dalam kebakaran pagi ini.

Mangsa Zuliati Mohammad, 40, yang tidak pernah jemu menjaga suaminya yang menderita sakit buah pinggang dan saraf merupakan pene­rima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Zuliati, ketika kebakaran pukul 4.40 pagi itu, dia bersama suami serta seorang anak mereka yang berusia tujuh bulan sedang tidur di dalam rumah yang mereka sewa sejak Julai tahun lalu itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebaik sahaja terjaga, dia terhidu bau asap dan disusuli bunyi letupan sebelum menye­dari rumah itu terbakar.

Mereka kemudian segera keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan dokumen pen­ting dan barangan lain sebelum kebakaran memusnahkan kediaman dalam sekelip mata.

“Pada mulanya saya nak masuk ke dalam bilik ketika api marak untuk selamatkan apa-apa yang perlu, namun suami saya tak benarkan. Lagipun kami takut lemas dalam asap.

“Mujurlah kami selamat, tapi tak sempat bawa keluar barang-barang. Saya sempat selamatkan anak sebelum minta bantuan jiran supaya segera menghubu­ngi bomba,” katanya di sini hari ini.

Zuliati berkata, kehidupan keluarganya akan menjadi semakin sukar ekoran kejadian itu memandangkan dia hanya bekerja sebagai pengemas bilik rumah tumpangan dengan gaji RM600 sebulan manakala suaminya pula tidak bekerja.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, 21 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Tambahnya, punca sebenar kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini