KOTA BHARU 24 Mac – Keprihatinan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian terhadap isu kebersihan di negeri ini terbukti apabila aktiviti gotong-royong saban kali dianjurkan khususnya di lokasi kunjungan ramai.
Terbaharu, seramai 50 pelajar Kolej Uniti Kota Bharu (KUKB) bergotong-royong membersihkan Pantai Cahaya Bulan yang lebih dikenali dengan PCB, di sini petang semalam.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) KUKB, Wan Muhammad Akmal Wan Azman berkata, program gotong-royong bertemakan ‘Ceriakan Pantai Kita – Bersih Di Mata, Tenang Di Hati’ itu adalah antara usaha yang sering dilakukan persatuan dan kelab pelajar kolej itu terutama bagi menjaga kebersihan pantai.
“Bukan sahaja kami yang buat gotong-royong tetapi ramai pihak dan NGO lain termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sendiri giat membersihkan kawasan pantai kebelakangan ini.
“Antara lokasi yang kami biasa turun adalah pantai berdekatan kolej seperti PCB, Pantai Kuda dan Pantai Mek Mas. Kami pernah dapat lebih 20 bungkus plastik hitam sampah iaitu hasil kutipan semasa gotong-royong dalam tempoh tidak sampai sejam.
“Kami berharap aktiviti yang dilakukan ini dapat meningkatkan kesedaran pengunjung supaya sama-sama menjaga kebersihan pantai. Kami merancang menjadikan PCB sebagai pantai angkat pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Wan Muhammad Akmal, 20, yang juga pengarah program berkata, gotong-royong itu juga merupakan sebahagian aktiviti countdown sempena Festival Unitipreneur 2019 yang akan berlangsung di kolej itu dari 28 Mac hingga 30 Mac ini.
Katanya, pelbagai acara disediakan untuk orang ramai sepanjang festival itu antaranya forum agama, dikir barat, pertandingan bola sepak, aktiviti untuk kanak-kanak, pameran agensi kerajaan dan swasta serta gerai jualan.
Sementara itu, salah seorang pelajar, Siti Amirah Azami, 20, berkata, dia kesal kerana sikap masyarakat yang masih belum berubah dan sanggup membuang sampah walaupun ada tong sampah disediakan.











