SHAH ALAM – Kedudukan skuad bawah 23 tahun (B-23) China selaku pendahulu Kumpulan J bagi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2020 sukar digugat selepas membenamkan Filipina 8-0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Keghairahan China mendapatkan gol nyata terserlah apabila memiliki 13 jaringan selepas berdepan dua perlawanan sekali gus memberikan kesukaran kepada pasukan lain untuk mencabar kedudukan skuad kendalian Guus Hiddink.
Hiddink menjelaskan sentiasa berpuas hati dengan prestasi semua pemain meskipun telah melakukan beberapa pertukaran dalam perlawanan kedua.
“Saya gembira apabila melihat pemain mampu menterjemahkan segala yang dirancang dalam sesi latihan ketika berada di atas padang.
“Pertukaran pemain dibuat memandangkan saya mementingkan minit perlawanan kepada semua pemain pada peringkat kompetitif.
“Apa pun selepas melihat cara mereka bermain memang saya berpuas hati dan saya boleh katakan semua pemain mempunyai tahap yang sama tidak kira yang berada di bangku simpanan sekali pun,” katanya selepas perlawanan.
Pada aksi tersebut, China berada di depan seawal minit kelima menerusi penyerangnya, Shan Huanhuan sebelum gol kedua terhasil 10 minit kemudian hasil sentuhan Hu Jinghang.
Skuad kendalian Hiddink terus menambah derita Filipina apabila menyumbat tiga lagi gol menerusi Huang Cong, Lin Liangming dan Jinghang untuk melengkapkan lima gol sebaik tamat babak pertama perlawanan.
Bersambung separuh masa kedua, keghairahan China terus terserlah apabila mereka menambah tiga lagi gol menerusi pemain gantian Zhang Yuning pada minit ke-49 dan 90 manakala HuanHuan pada minit ke-65. – K! ONLINE











