BALIK PULAU – Mayat seorang wanita ditemui terapung dan tersangkut pada jaring sangkar ikan di kawasan perairan Limbongan Batu Maung, Bayan Lepas di sini hari ini.
Mayat tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 11.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, mayat tersebut telah ditarik ke tepi jeti sebelum siasatan pada tubuhnya dilakukan.
“Identitinya bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti kerana tiada dokuman ditemui bersamanya.
“Wanita itu dipercayai berusia 30-an dan ditemui dalam keadaan memakai baju berwarna biru dengan kain sarung bercorak bunga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Anbalagan berkata, mayat berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Balik Pulau di sini bagi urusan bedah siasat.
Beliau berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan dan pengecaman mayat. – K! ONLINE











