GEORGE TOWN – Jumlah simpanan air di Empangan Air Itam yang membekalkan kepada kawasan Air Itam di negeri ini mencatatkan isipadu kritikal apabila hanya mampu bertahan dalam tempoh 48 hari sahaja.
Ketua Menteri, Chown Kon Yeow, dalam satu kenyataan hari ini berkata, kapasiti efektif empangan itu yang dicatatkan pada Jumaat lalu ialah 49.1 peratus berbanding yang dicatatkan pada 1 Januari lalu sebanyak 92.2 peratus.
“Ia telah menurun sebanyak 43.1 peratus dalam tempoh 81 hari dan jika hujan turun tidak mencukupi, kita mungkin kehabisan air menjelang akhir Mei 2019.
“Berikutan senario itu, kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merayu kepada rakyat di Air Itam dan Paya Terubong untuk menjimatkan penggunaan air dengan segera,” katanya.
Menurut rekod oleh PBAPP, kapasiti efektif tersebut adalah yang terburuk dalam tempoh empat tahun berbanding tempoh sama iaitu sebanyak 93.9 peratus pada 2018, 80.4 peratus (2017) dan 70.4 peratus (2016).
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, senario bekalan air di kawasan lain di negeri ini termasuklah di Seberang Perai adalah normal pada masa ini.
Sementara itu, dua buah empangan lain iaitu Empangan Teluk Bahang, Balik Pulau mencatatkan bacaan kapasiti efektif 70.7 peratus dan Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Seberang Perai (46.6 peratus) pada Jumaat lalu. – K! ONLINE











