Koleksi syiling emas kemenangan PH mampu tarik minat komuniti antarabangsa - Utusan Malaysia

Koleksi syiling emas kemenangan PH mampu tarik minat komuniti antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mac – Koleksi syiling peringatan emas sempena kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berpotensi menarik minat masyarakat antarabangsa, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.

Katanya, kejayaan PH memenangi PRU14 merupakan detik yang cukup istimewa yang mana majoriti rakyat berkongsi keyakinan politik untuk melakukan perubahan – dan membuka lembaran baru dalam senario politik Malaysia.

koleksi syiling PH
Syiling peringatan sempena kemenangan PH pada PRU14 dengan ketulenan emas 999 seberat 0.1 gram dijual pada harga RM160.

“Hari ini, (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir merupakan tokoh yang sedang menikmati pengiktirafan dan penghormatan tinggi masyarakat antarabangsa. Kejayaan menerajui semula kerajaan buat kali kedua adalah sejarah politik yang luar biasa dan diakui masyarakat dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya cukup yakin, dengan strategi pemasaran yang berkesan – syiling peringatan ini bukan sahaja boleh dimiliki oleh rakyat Malaysia, malah mampu menarik perhatian peminat antarabangsa,” katanya ketika melancarkan koleksi syiling peringatan itu di sini.

Koleksi Syiling Peringatan Emas Tun Dr Mahathir Mohamad ini diusahakan oleh syarikat, Puncak Julung Enterprise.

Syiling tersebut dijual dengan harga RM160 (ketulenan emas 999 seberat 0.1 gram).

Kata Mohd. Redzuan, fokus Perdana Menteri dan kerajaan kini terarah kepada usaha mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai “Harimau Asia” yang dihormati.

Oleh itu katanya, Usaha memperkasa ekonomi dan mensejahtera kehidupan rakyat sedang dan akan terus diikhtiarkan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Puncak Julung Enterprise, Datuk Mohd Rodhi Abd Hamid berkata, syiling peringatan ini mampu menggalakkan semangat patriotik dalam kalangan warga Malaysia.

“Kejayaan Tun Dr Mahathir menerajui kemenangan dalam PRU-14 adalah sejarah yang wajar diingati oleh rakyat Malaysia.

“Syiling peringatan khas ini boleh dijadikan kenangan yang dikongsi bersama generasi akan datang,” ujarnya.

Mereka yang berminat untuk memiliki syiling peringatan tersebut boleh melayari laman web rasmi – https://tunmcc.com.my/ untuk membuat pembelian bermula berula 23 Mac. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini