JACOBA Ballard, seorang wanita yang mengetahui dirinya dilahirkan menggunakan sperma yang didermakan oleh seorang lelaki tetapi perkara itu tidak menghalang hasratnya untuk mencari adik beradik daripada penderma yang sama.

Namun dia tidak menyangka pencarian tersebut telah menemukannya dengan 48 beradik lain kesemuanya daripada sperma lelaki yang sama dan lebih memeranjatkan, sperma itu milik seorang doktor pakar kesuburan, Dr. Donald Cline dari Indiana.
Cline dilaporkan telah ‘menyemai benih’ miliknya secara `haram’ kepada lebih 50 wanita yang mendapat khidmat kesuburan di kliniknya, kesemuanya tanpa pengetahuan dan persetujuan wanita berkenaan serta pasangan masing-masing.
Perbuatan tidak bermoral doktor itu terbongkar ekoran peningkatan populariti ujian genetik melalui laman sesawang syarikat bioteknologi seperti 23andMe dalam kalangan penduduk di Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penemuan `adik beradik’ berkenaan.
Lelaki yang kini berusia 80 tahun itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan terhadap sekurang-kurangnya 50 wanita tanpa disedari mereka sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.
Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada 23andMe dan Ancestory.com mengesahkan sekurang-kurangnya 48 bayi dilahirkan melalui sperma Cline dan bilangannya dijangka bertambah memandangkan ramai lagi yang masih belum melakukan ujian DNA.
Sejak mengetahui susur galur mereka, hampir kesemua anak Cline membina sebuah komuniti dan saling berhubungan melalui Facebook malah setiap kali musim cuti mereka akan menerima ahli keluarga baharu.
Ballard, 39, bertemu adik perempuannya yang pertama menerusi Facebook yang kemudian memperkenalkannya dengan seorang lagi wanita dan adiknya setelah mengetahui ibu mereka pernah mendapat rawatan kesuburan daripada Cline.
Keempat-empat wanita itu kemudian memutuskan untuk menjalani ujian melalui 23andMe bagi mengesahkan mereka mempunyai pertalian darah dan hasil ujian itu bukan sahaja mendedahkan mereka bersaudara malah mereka mempunyai empat beradik lain.
Ketika mereka meneruskan pencarian bapa kandung mereka melalui padanan silang DNA menggunakan pangkalan data pencarian keluarga, teknik yang digunakan para penyiasat untuk mengenal pasti suspek jenayah, hanya satu nama sahaja yang sering timbul iaitu Cline.
Ballard bernasib baik kerana adik tirinya berjaya menjejaki seorang wanita yang berkongsi DNA dengan mereka dan mempunyai seorang sepupu bernama Donald Cline.
Melalui wanita itu mereka berjaya menemukan keluarga sebenar Cline yang kemudian membantu mereka bertemu doktor berkenaan pada 2016.
Semasa pertemuan pertama mereka dan enam lagi adik beradik baharu yang ditemukan serta Cline dan anggota keluarganya lain, doktor berkenaan mengaku menggunakan spermanya terhadap kira-kira 50 wanita dan rekod perubatan mereka dimusnahkan beberapa tahun sebelum itu.
Pengakuan tersebut membawa kepada siasatan jenayah dan pendakwaan dilakukan terhadap Cline atas tuduhan menipu para penyiasat tentang perbuatan menggunakan sperma tanpa pengetahuan pesakit wanitanya.
Lelaki itu mengaku salah terhadap tuduhan berkenaan dan pada Disember 2017, lelaki itu menerima hukuman penjara 365 hari dengan penangguhan.
Ballard dan adik beradiknya yang lain berusaha agar undang-undang jenayah dikuatkuasakan terhadap doktor yang merawat pesakit kesuburan menggunakan sperma sendiri tanpa kebenaran.
“Kami dapat merasakan seperti ibu kami dicabul dan dia (Cline) telah memusnahkan hidup kami,’’ katanya.
Salah seorang mangsa Cline, Liz White, 66, berkata, dia merasakan telah dirogol sebanyak 15 kali akibat penipuan tersebut.
Menurutnya, Cline dikenali sebagai seorang doktor yang baik hati dan lembut malah pejabatnya dihiasi dengan gambar-gambar bayi.
Lelaki itu memulakan kariernya pada 1979 iaitu ketika bidang perubatan kesuburan masih baharu dan bank sperma masih belum wujud malah doktor terbabit yang terpaksa mencari penderma sperma.
Dalam kes White, Cline menawarkan diri untuk mencari seorang pelatih perubatan yang mempunyai iras suami wanita itu agar masyarakat tidak meragui anak yang dilahirkan adalah anak kandungnya.
Anak White, Matt pula berkata, dia mula tercari-cari penderma sperma kepada ibunya pada 2016 namun pada 2017 ketika laporan tentang pertuduhan yang dihadapi Cline disiarkan akhbar hatinya terdetik untuk mencari alamat lokasi bekas doktor kesuburan yang pernah dikunjungi ibunya.
“Saya kemudian melakukan pencarian menggunakan nama doktor itu dan apabila terlihat gambar Cline, saya terkejut kerana wajah saya miripnya,’’ katanya.
Dalam pada itu, Cline memohon maaf terhadap semua mangsanya ekoran `kesakitan yang terpaksa ditanggung akibat perbuatannya’ namun tidak menceritakan secara khusus jumlah sebenar sperma yang digunakan semasa melakukan prosedur terbabit.
Rentetan kes Cline, Ballard berjaya menemukan 21 lagi adik beradik lelaki dan perempuan kesemuanya berusia 30-an yang dikenal pasti melalui ujian DNA dan kebanyakannya menetap di bahagian tengah Indiana.
Kini mereka saling berhubungan menggunakan media sosial, kadangkala berkumpul bersama-sama selain berkongsi gambar semasa kecil dan cerita peribadi masing-masing.











