IPOH 23 Mac – Skuad hoki kebangsaan memulakan misi memburu kejuaraan pertama pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah dengan kemenangan meyakinkan apabila membelasah Poland 5-1 di sini, hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Azlan Shah itu, penyerang kebangsaan, Faizal Saari mencipta hatrik, sementara adiknya, Mohd. Fitri turut melakar nama sebagai penjaring, selain Mohd. Ashran Hamsani. Gol tunggal Poland pula dijaringkan Michal Kasprzyk.
Menentang Poland yang pertama kali menyertai kejohanan itu, skuad bimbingan Roelant Oltmans sememangnya berhajat mencatat kemenangan dalam aksi pertama tersebut bagi mencerahkan peluang Malaysia memburu kejuaraan sulung pada pertandingan itu.
Namun, Poland yang menduduki tangga ke-21 ranking dunia tidak memberi laluan mudah sehinggakan skuad kebangsaan terpaksa menunggu sehingga minit ke-20 untuk membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal.
Jaringan tersebut ternyata memberikan semangat untuk pemain menambah jaringan dan ia direaliasikan menerusi gol padang Mohd. Fitri pada minit ke-28.
Faizal memastikan Malaysia selesa mendahului 3-0 apabila tidak berdepan masalah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-30, namun, Poland mencuri satu gol juga dihasilkan melalui pukulan sudut penalti Kasprzyk.
Mohd. Ashran memastikan Malaysia mencipta kemenangan besar apabila pantas membuat susulan daripada pukulan sudut penalti yang pada awalnya berjaya ditepis penjaga gol Poland, Mateusz Popiolkowski. Tidak terhenti setakat itu, pemain berpengalaman negara, Faizal melengkapkan hatrik apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-45.











