IPOH 23 Mac – Pasukan hoki kebangsaan memulakan misi memburu kejuaraan pertama kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah dengan kemenangan meyakinkan apabila membelasah Poland 5-1 di sini hari ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Azlan Shah di sini, penyerang kebangsaan, Faizal Saari menjaringkan tiga gol menerusi pukulan sudut penalti.
Mohd. Fitri Saari turut melakar nama sebagai penjaring menerusi gol padang manakala Mohd. Ashran Hamsani juga meledak gol menerusi pukulan sudut penalti.
Sementara itu, gol Poland pula dijaringkan Michal Kasprzyk pada penghujung suku kedua permainan menerusi pukulan sudut penalti.
Menentang Poland yang pertama kali menyertai kejohanan, skuad bimbingan Roelant Oltmans sememangnya diletakkan harapan tinggi untuk memenangi perlawanan sebagai langkah awal untuk memenangi kejohanan buat pertama kali.
Namun, Poland yang menduduki tangga ke-21 ranking dunia tidak memberi laluan mudah sehinggakan skuad kebangsaan terpaksa menunggu sehingga minit ke-20 untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti Faizal.
Jaringan tersebut ternyata memberikan semangat untuk pemain menambah jaringan dan ia direalisasikan menerusi gol padang Mohd. Fitri pada minit ke-28.
Faizal memastikan Malaysia selesa mendahului 3-0 apabila tidak berdepan masalah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-30 namun Poland mencuri satu gol menerusi pukulan sudut penalti Kasprzyk pada minit ke-30.
Mohd. Ashran tidak ketinggalan mencatat nama sebagai penjaring apabila pantas membuat susulan daripada pukul sudut penalti yang pada awalnya berjaya ditepis penjaga gol Poland, Mateusz Popiolkowski.
Faizal melengkapkan jaringan hatrik apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-45. – UTUSAN ONLINE











