SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas terjatuh dari tingkat empat di Flat Taman Limau Manis, Bukit Tengah, Bukit Mertajam di sini hari ini.
Mangsa, S. Raajveer, 9, ditemui terbaring di atas tanah di bawah flat itu kira-kira pukul 9.20 pagi oleh orang awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa dipercayai terjatuh selepas memanjat tingkap di bahagian dapur.
“Ibu bapanya dikatakan tidak menyedari kanak-kanak itu memanjat tingkap yang tidak mempunyai gril berdekatan sinki.
“Ibu saudara mangsa yang berada di dalam rumah pula ternampak kanak-kanak itu seperti hendak terjun daripada tingkap, tetapi dia tidak sempat untuk menariknya sebelum terjatuh,” katanya di sini sebentar tadi.
Menurut Nik Ros Azhan, mangsa ialah OKU mental sejak lahir dan merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – K! ONLINE











