Jepun sekat kemaraan skuad negara ke separuh akhir - Utusan Malaysia

Jepun sekat kemaraan skuad negara ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT skuad badminton negara untuk meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia tidak terlaksana apabila tersekat pada peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun semalam.

Bagaimanapun, kekalahan tersebut memang sudah dijangka lebih-lebih lagi Jepun turun sebagai juara bertahan serta pilihan utama kejohanan.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui anak-anak buahnya gagal menampilkan aksi terbaik pada perlawanan itu, terutamanya menerusi perseora­ngan lelaki, Cheam June Wei dan perseorangan wanita, Ho Yen Mei.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya fikir Cheam dan Yen Mei sepatutnya memenangi perlawanan masing-masing ke­rana mereka memiliki peluang untuk tewaskan lawan masing-masing. Mereka gagal menggunakan kesempatan yang ada untuk hadiahkan mata kepada pasukan negara.

“Setiap pemain sepatutnya memiliki semangat serta percaya pada diri. Mereka perlu percaya Malaysia mampu lakukan kejutan pada saingan kali ini, namun tuah tidak menyebelahi kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malaysia berpeluang me­ngutip mata pertama perlawanan menerusi beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berdepan Takuro Hoki-Yugo, namun terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 16-21, 15-21.

Yen Mei yang turun beraksi menentang Aya Ohori turut gagal untuk memberikan cabaran apabila tewas 9-21, 23-25 sebelum Kanta Tsuneyama memastikan kemenangan milik Jepun dengan menewaskan June Wei 13-21, 23-21, 21-15.

Justeru, Choong Hann me­negaskan, latihan mental amat diperlukan pemain-pemain negara pada ketika ini bagi memastikan mereka tidak mudah tertekan apabila berada di ge­langgang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini